Thursday, August 27, 2009

Apabila Si Jahil Nak Tunjuk Pandai.



Menteri diminta berhenti mengeluarkan "kenyataan jahil" berhubung prosedur mahkamah syariah kerana tindakan itu mencampuri urusannya dan boleh dianggap menghina mahkamah, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Timbalan presidennya Muhammad Burok turut menyeru pihak-pihak yang tidak berkaitan dengan urusan perundangan Islam supaya tidak mencampuri urusan mahkamah syariah.

Beliau mengeluarkan amaran ini susulan kenyataan beberapa menteri yang mengulas hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno yang bersalah mengambil alkohol oleh mahkamah syariah Pahang.

"Apabila umat Islam, lebih-lebih lagi pucuk pimpinan kita hendak keluarkan kenyataan, yang pertama mesti dapatkan maklumat yang tepat.

"Jangan keluar kenyataan yang menunjukkan kejahilan kamu tentang undang-undang Islam dalam Malaysia dan menunjukkan kita tidak yakin dengan undang-undang Islam ini," katanya.

"Ini adalah amaran kepada sesiapa yang cuba halang hukuman tersebut kerana itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

"Sesiapa yang menghalang atau cuba menghalang perjalanan kes, itu adalah menghina mahkamah. Saya tidak tahu berapa ramai yang sudah melakukan kesalah menghina mahkamah, termasuk menteri," kata Muhammad dalam satu sidang akhbar anjuran gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut mendakwa campur tangan yang wujud daripada menteri telah menyebabkan perjalanan kes ditangguhkan dengan tidak mengikut prosedur. [Baca juga: Gantung sebat Kartika 'langgar prosedur mahkamah']

“Kes ini telah diputuskan di mahkamah... tetapi bila ada campur tangan pihak tertentu, itu menyebabkan ketidakadilan kepada institusi mahkamah itu sendiri dan juga kepada orang yang dijatuhi hukum.

“Orang itu pula memang hendak menjalani hukuman. Beliau sudah insaf dan mahu menjalani hukuman secepat mungkin, tidak kiralah pada bulan Ramadan atau sebagainya. Kalau kita tidak boleh buat siang sebab berpuasa, kita boleh buat (sebatan) waktu malam,” kata Muhammad lagi.

Menteri dalam negeri kelmarin menegaskan bahawa hukuman ke atas Kartika tidak dapat dijalankan kerana tiada jurusebat untuk menjalankan hukuman berkenaan

Hukuman ditangguhkan kerana ia merupakan kes pertama yang dihadapi, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau juga dilaporkan berkata, Jabatan Penjara perlu dipersiapkan dengan keperluan-keperluan bagi menjalankan hukuman berkenaan.

Bagaimanapun kenyataannya itu dipertikaikan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Mohamad Isa Abdul Ralip dengan alasan hukuman tersebut pernah dilaksanakan seperti pernah didedahkan dalam satu seminar anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), April lalu.

Selain PPMM dan PGSM, Pembela turut disertai antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Tuesday, August 25, 2009

Isu Islam, Siapa Yang Kita Percayakan.

Muhyiddin, Najib, Mahathir & Pak Lah.

Ustaz Taib Azimuddin (Bekas Imam Masjid Negara) TG Dato' Nik Aziz.
TG Dato' Seri Hadi Awang.

UMNO ialah parti Melayu Islam. PAS juga adalah sebuah parti Melayu Islam. Kedua-duanya diterajui oleh orang Melayu berbangsa Islam. Namun terdapat beberapa percanggahan pendapat dan fahaman di antara kedua-dua parti ini. Pendapat dan pemahaman juga dikatakan berbeza dari segi pemahaman dalam isu agama iaitu Islam. Adakalanya ia akan menyentuh tentang hukum-hakam dalam Islam yang perlu dilaksanakan di negara ini.
Jika kita amati di antara beberapa tokoh UMNO dan PAS ini, agaknya yang mana rasanya lebih kita percaya jika ingin kita rujuk tentang bab keagamaan? Adakah kita ingin jawapan yang hanya menggunakan hukum akal sahaja tanpa merujuk daripada Al-Quran dan Hadis? Jika di antara mereka-mereka yang ada di dalam gambar di atas, siapakah yang lebih meyakinkan bila berbicara tentang agama Islam? Adakah kita ingin percaya kepada seseorang yang bukan berlatar belakang dengan agama untuk berbicara soal hukum-hakam Islam? Adakah kita sebagai umat Islam ingin menolak pandangan seseorang yang tinggi ilmu agamanya apabila berbicara tentang hukum-hakam Islam? Pilihan adalah di tangan kita. Tepuk dada tanyalah iman, yang mana satu kita nak pilih. Allah juga menyuruh kita pilih, nak syurga ke atau neraka. Kalau pendapat orang yang jahil agama kita pakai, maka akan rugilah kita di akhirat kelak. Jika para 'alim agama kita tolak, kita sendirilah yang tanggung besok di akhirat nanti. Kalau nak berjaya biarlah berjaya di dunia dan di akhirat.

Monday, August 17, 2009

Betul Ke Silap?

  • Isu masjid: SU menteri akui silap guna kepala surat
    Abdul Rahim Sabri | Aug 17, 09 11:55am
  • NONE Setiausaha politik menteri Wilayah Persekutuan mengakui tersilap menggunakan kepala surat kementerian berkenaan berhubung pelantikan ahli jawatankuasa masjid di kariah masing-masing.


Ini adalah cebisan dari tajuk berita dari Malaysiakini. Kononnya Setiausaha politik Menteri Wilayah Persekutuan dah tersilap guna kepala surat. Itu pun setelah Dr.Lo'Lo mendedahkan perkara ini yang tak sepatutnya berlaku.
Memang ada campurtangan pihak-pihak ini dalam urusan pentadbiran masjid.Mereka akan menyenaraikan nama-nama mereka yang cenderung kepada parti fahaman mereka sahaja walaupun ahli-ahli yang disenaraikan itu tak pernah ke masjid. Inilah fenomenanya apabila urusan pentadbiran masjid diberi kepada orang-orang yang jahil agama. Dah banyak kali kita dengar duit masjid lesap entah ke mana bila puak-puak ni pegang.Bila kita buat laporan dan disiasat, memang benar ianya berlaku tapi tak ada pula yang diambil tindakan. Kesudahannya perkara sebegini didiamkan sahaja dan pihak JAWI dengan selambanya ambil alihlah masjid-masjid yang diketogerikan sebagai bermasaalah.
Kan lebih baik dipilih dari kalangan mereka-mereka yang senantiasa berjemaah di masjid terutamanya ahli-ahli kariah masjid.Ini tidak, yang berlaku entah siapa-siapa yang mentadbir masjid dan bukannya jemaah atau ahli kariah.Maka dengan itu akan berlakulah perkara-perkara yang tak sepatutnya berlaku seperti kehilangan duit masjid.Pihak JAWI taka ada kuasa nak melantik tapi puak-puak ini gunakan pengaruh politiknya tentukan hala tuju pengurusan masjid.

Sunday, August 16, 2009

Takut Pada Wabak H1N1.

Sekarang ini heboh diperkatakan tentang wabak H1N1 ataupun selsema babi yang melanda negara. Setakat ini sudah 62 nyawa terkorban disebabkan terkena jangkitan wabak ini. Maka berbondong-bondonglah orangramai mendapatkan topeng penutup mulut dan hidung untuk mencegah wabak ini dari dijangkiti. Walaupun bekalan topeng dinaikkan harga, namun orangramai tetap membelinya.
Hairan juga kita melihat telatah manusia yang takut dengan penyakit ini. Kalau hukum daripada Allah swt untuk menutup aurat iaitu bertudung, tidak pula dipedulikan. Apa mereka ini tak takut ke kena azab dek tak menutup kepala mereka dengan tudung? Tahu pula mereka ni semua takut mati cepat kalau dihinggapi penyakit ini.
Media-media pula tak sudah-sudah berkempen agar rakyat menjaga kesihatan dengan bertopeng.Kenapa media tak nak promosikan agar umat Islam menutup aurat dengan bertudung? Inilah dikatakan cintakan dunia kerana takut cepat mati nak tinggalkan dunia yang fana' ini.

Saturday, August 15, 2009

Siapa Hina Islam?



Siapa yang menghina Islam? Nampaknya isu-isu seperti ini sengaja diperbesar-besarkan demi meraih kepentingan politik.Apakah orang-orang Islam itu sendiri tidak menghina agamanya sendiri?Lihat saja perlakuan-perlakuan sumbang artis-artis Melayu islam yang terang-terangan menolak hukum Allah.Begitu juga dengan para-para pemimpin Islam wanita yang menolak hukum Allah.Itu tidak termasuk lagi dengan isteri-isteri pembesar negeri yang rata-rata mendedahkan aurat.Apakah itu tidak termasuk menghina? Mereka-mereka yang Islam sepatutnya lebih tahu dab faham tentang hukum-hakam, kenapa tak nak ikut?

Apakah ini cara wanita Islam berpakaian?
Inikah dia pergaulan umat islam?

Friday, August 14, 2009

Khutbah Jumaat "Bom Jangka" 13/8/09


Hari ini aku solat Jumaat di Masjid Muaz Bin Jabar di Keramat Permai. Tajuk khutbah yang dibaca oleh khatib berkisar kepada bahayanya rokok kepada orangramai. Rokok dikatakan menjadi punca segala penyakit dengan kandungannya yang dikatakan mempunyai pelbagai racun di dalamnya. Kesian juga aku mendengar Imam tersebut apabila menyebut nama-nama saintifik yang ditulis dalam bahasa Jawi untuk disampaikan.
Memang benarlah bahawa rokok tidak ada memberi manafaat langsung kepada penghisapnya. Malah ia juga boleh mencemarkan udara dengan asap yang dikeluarkan oleh perokok. Pada setiap kotak yang dijual juga dipamerkan gambar-gambar yang menakutkan. Imam yang berkhutbah juga mengatakan setiap batang rokok yang dihisap adalah menyumbang kepada perkembangan ekonomi Yahudi.
Kenapa Imam yang berkhutbah tidak menggesa kerajaan untuk mengharamkan penjualan rokok di negara ini? Jika terlalu bahaya kenapalah kerajaan tak mengarahkan aja kilang rokok ditutup? Imam mengatakan, negara telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk merawat pesakit akibat ketagihan rokok, dan ini merugikan duit kerajaan. Kenapalah Pak Imam tak kata berapa banyak kerajaan mengaut keuntungan daripada cukai rokok? Ini tak termasuk lagi dengan cukai arak.
Adakalanya penyampaian khutbah ini hanyalah sebagai pelengkap kepada solat Jumaat tanpa memberi kesan kepada yang mendengarnya. Mana tidaknya, kerana selepas selesai sahaja solat Jumaat, ramai yang aku lihat keluar dan memasang api rokok. Ini disebabkan penjualan rokok tidak diharamkan maka siapa yang perlu dipersalahkan dalam hal ini. Ada juga suara-suara yang bercakap selepas solat, "dah tahu bahaya tutuplah kilang rokok". Satu suara pula menjawab,"kalau tutup, kerajaan tak dapat hasillah......" Nampaknya dalam hal ini kerajaan terpaksa korbankan kesihatan rakyat demi mengaut keuntungan.

Monday, August 10, 2009

Ustaz-Ustaz Hari Ini.

Apabila disebut saja "Ustaz" semua orang akan membayangkan kepada seseorang yang mempunyai pendidikan agama yang tinggi. Ini disebabkan ustaz-ustaz ditugaskan untuk menjadi Imam, Bilal, berceramah dan menyelesaikan apa jua masalah mengenai konflik agama.
Tetapi sekarang ini ustaz-ustaz yang ada dah lain macam pula jadinya. Bukanlah semuanya begitu tetapi kebanyakannya dilihat kurang dihormati lagi.
Saya sebagai orang awam yang sering mencari-cari permasalahan agama melalui internet merasa hampa dengan perlakuan ustaz-ustaz yang ada. Nampaknya ustaz-ustaz kini lebih suka menonjolkan diri berceramah dengan menghentam ustaz-ustaz yang tak sealiran dengan mereka. Yang sorang kata dia ni sesat, tak betullah, keluar hadis palsulah dan macam-macam jenis ustaz sekarang ini. Ada pula yang kata ini bidaah, ini sunnah, ini syirik......aduh jadi bengong orang awam macam saya ni dibuatnya. Ada yang pelik sekali bila saya dengar dan baca bab kisah Wahabi. Apa tu....tak fahamlah saya.
Sebenarnya dulu saya ada juga belajar agama, bab ngaji quran, sembahyang, bab-bab fekah dan yang asas-asas aja, tapi tak pernah dengar pula bab Wahabi. Kemuadian diajar mana yang harus, haram, makruh, wajib, sunat dan seterusnya. Saya jadi pelik bila dengar kuliah, ada ustaz-ustaz yang kata tak boleh beramal cara ni, itu bida'ah namanya. Kemudian pergi ke masjid lain pula ada pula Ustaz kata boleh buat, itu sunnah namanya. Yang tak buat tu namanya Wahabi. Pening dibuatnya sebab tak pulak kita kenal ada bangsa Wahabi yang disebutkan oleh ustaz-ustaz ni.
Akhir sekali saya dah boring mencari siapa yang betul dalam hal ini, terus tak nak dengar lagi kuliah atau ceramah ustaz-ustaz yang saya kenal pasti suka membangkitkan hal-hal sebegini. Langsung tak dapat apa-apa pun dengar ceramah yang sebegini. Kalau bagi kuliah ajarlah kita bab-bab sembahyang ke, siksa neraka ke, azab kubur ke, barulah kita insaf. Ini tidak, sorang kata bidaah, sorang kata sunnah, sorang kata sesat, sorang kata dak sesat, lepas tu dok hentam sesama sendiri. Macamana ya diorang ni boleh jadi ustaz!!!!!!Ustaz cari publisiti kut.....

Tuesday, August 4, 2009

Salah Siapakah Ini.

Pada 01/08/2009, telah berlaku satu demonstrasi yang melibatkan orang awam. Demonstrasi tersebut adalah bertujuan untuk menuntut agar undang-undang ISA dimansuhkan. Penganjurnya iaitu Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah menjemput orangramai untuk berhimpun dan berarak secara aman untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong agar undang-undang ISA dimansuhkan.
Nampaknya perhimpunan dan perarakan yang dijadualkan telah bertukar kepada siri tangkapan demi tangkapan oleh pihak berkuasa. Sememangnya pihak berkuasa telah memaklumkan agar orangramai tidak menyertai perhimpunan seperti ini. Namun demi semangat yang berkobar-kobar, maka arahan dan larangan tersebut tidak dipatuhi oleh orangramai. Akibatnya maka berlakulah keadaan huru-hara, kesesakan lalu-lintas, penutupan premis perniagaan dan sebagainya. Tuding menuding kesalahan juga berlaku di antara pihak yang mempertahankan ISA dengan pihak yang menentangnya.
Rumusan daripada peristiwa ini, maka blog ingin mengutarakan beberapa soalan agar dapat dijawab dengan sejujur-jujurnya oleh pihak yang terlibat.

1) Kenapakah orangramai tidak memperdulikan larangan dari pihak polis?
2) Kenapakah perhimpunan sebegini mendapat respon yang begitu baik dari orangramai?
3) Apakah undang-undang ISA yang digunakan berlandaskan ajaran Al-Quran dan Hadis?
4) Kenapakan ulama-ulama yang menjawat jawatan sebagai mufti menutup mulut mereka untuk membicarakan tentang undang-undang ini?
5) Apakah pemimpin Islam yang ada di negara kita tidak merujuk kepada Al-Quran dan Hadis untuk melaksanakan undang-undang?

Sebenarnya terlalu banyak persoalan yang boleh diutarakan, namun cukuplah dengan persoalan pokok yang saya rasa tidak mampu dijawab oleh mereka-mereka yang berkenaan.

Kenali Orang Awam.

Apabila disebut orang awam maka akan membawa maksud "orangramai" atau kesemua orang. Oleh itu tingkah laku orang awam ini ada berbagai-bagai ragam untuk diketogerikan. Ini termasuklah perilaku buruk dan baiknya, maka orang awam jugalah yang diumpamakan.
Kalau dalam membicarakan bab-bab agama, maka orang awam akan dipisahkan sebagai seseorang yang kurang berilmu serta cetek pengetahuan agamanya. Ini akan disentuh oleh beberapa tokoh agama dalam bab puasa orang awam, solat orang awam, amalan orang awam dan sebagainya. Benarkah begitu?
Sebenarnya istilah yang sering diutarakan oleh tokoh-tokoh agama ini, ada yang benar dan ada yang tidak tepat. Kebenarannya disebabkan ia diketogerikan kepada semua orang, manakala yang kurang tepat ialah, orang awam lebih baik amalannya daripada orang yang berilmu ini. Contohnya jika kita sering melazimkan diri berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, maka akan kelihatan para jemaahnya terdiri daripada orang awam belaka. Kalau kita sering bergerak untuk berjemaah di masjid-masjid yang berasingan, maka kita akan melihat fenomena yang sama juga.
Saya adalah salah seorang yang suka berjalan-jalan dari satu masjid ke masjid yang lain untuk berjemaah. Sepanjang pengamatan saya amat sukar sekali untuk kita berjumpa dengan tokoh-tokoh ilmuan agama yang sama-sama berjemaah walaupun rumah mereka terletak berhampiran dengan masjid atau surau. Kalau ada pun, disebabkan mereka dijemput untuk menyampaikan ceramah, maka akan terdapatlah mereka di situ. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya bercampur dengan tokoh-tokoh agama ini. Jangan terperanjat jika saya katakan bahawa tokoh-tokoh agamawan ini boleh beredar selepas menghadiri mesyuarat, sedangkan azan sedang berkumandang di masjid temapt mereka-mereka ini bermesyuarat. Jadi mana lebih baik amalannya, tokoh-tokoh yang sering berceramah inikah atau orang awam.

Dakwah Orang Awam.


Blog Dakwah Orang Awam ini adalah adalah satu inspirasi untuk membincangkan beberapa pemikiran yang lebih terbuka tanpa berpihak kepada mana-mana sekalipun pertubuhan, persatuan, individu dan sebagainya. Ia diwujudkan bagi menyatakan yang hak terhadap apa jua perkara-perkara yang dirasakan perlu untuk diketengahkan. Selamat melayari blog "Dakwah Orang Awam".